4 bidaan ambil alih konsesi PLUS

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin hanneeyzah@bh.com.my

KUALA BERANG: Kementerian Kerja Raya mengesahkan menerima empat tawaran mengambil alih kepentingan Khazanah Nasional Bhd (KHAZANAH) dalam konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

Menterinya, Baru Bian, berkata empat syarikat yang mengemukakan tawaran itu ialah Widad Business Group (WBG), Maju Holding Sdn Bhd dan RRJ Capital, selain ahli perniagaan yang juga jutawan, Tan Sri Halim Saad.

“Kita sudah menerima beberapa tawaran bidaan dan tiga hari lalu kita baru terima tawaran yang keempat.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap lebuh raya bertol, kita akan kemukakan tawaran itu pada Kabinet dalam masa terdekat dan akan mengkaji semua itu.

“Kita akan kongsi mengenainya dengan terperinci selepas membentangkannya kepada Kabinet dan Kabinet akan buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) Pembinaan Edisi Terengganu di Akademi Binaan Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Ditanya adakah keputusan mengenainya akan dibuat sebelum akhir tahun ini, Baru berkata kerajaan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.

“Kita akan buat (keputusan) dalam masa terdekat, secepat mungkin. Kita faham ini adalah isu membabitkan kepentingan rakyat Malaysia dan kita akan segerakan untuk manfaat semua,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilaporkan berkata kerajaan bersedia menjual PLUS jika nilainya bersesuaian dengan bidaan ditawarkan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan tetap memastikan masih memiliki kepentingan saham dalam syarikat berkenaan walaupun sudah dijual.

Halim, yang juga bekas peneraju Renong Group, dilaporkan membuat tawaran tertinggi sebanyak RM5.2 bilion, manakala WBG dengan pertimbangan tunai bernilai RM1.5 bilion, bagi mendapatkan 51 peratus kepentingan milik Khazanah itu.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/619417/4-bidaan-ambil-alih-konsesi-plus