Program Personel Binaan

Terbuka kepada semua pekerja binaan tempatan dan asing yang sedang bekerja atau berpengalaman dan berumur di antara 18 hingga 55 tahun. Latihan untuk pekerja tempatan dibiayai sepenuhnya oleh CIDB, manakala pekerja asing pula dikenakan yuran untuk mengikuti latihan kemahiran yang disediakan.

Program Belia

Terbuka kepada golongan belia warganegara Malaysia berusia antara 17 hingga 35 tahun. Latihan untuk belia ini dibiayai sepenuhnya oleh CIDB.

Matlamat ABM

  • Melahirkan lebih ramai pekerja binaan tempatan yang mahir.
  • Menyediakan kursus-kursus kemahiran binaan yang lebih tersusun dan diiktiraf; dijalankan oleh tenaga pengajar profesional yang berpengalaman luas dan terlatih;
  • Melahirkan tenaga kerja binaan yang produktif, mempunyai kesedaran terhadap keselamatan, berorientasikan kualiti dan cekap bagi memenuhi keperluan industri pembinaan yang semakin pesat berubah;
  • Menyediakan peluang kepada pekerja binaan untuk mempertingkatkan tahap kemahiran mereka dari semasa ke semasa;
  • Menyokong industri pembinaan mencapai daya saing dengan menyediakan tenaga kerja binaan yang mempunyai tahap kemahiran sewajarnya bagi mengendalikan teknologi pembinaan yang semakin canggih;
  • Membangun dan merintis laluan mengeksport tenaga kerja pakar yang terlatih untuk menjalankan kerja pembinaan di luar negara; dan
  • Menjalankan program penilaian kompetensi kemahiran.

Program Latihan Kompentensi Kemahiran Pekerja Binaan
(Program Personel Binaan)

Dibangunkan untuk memastikan supaya kerja pembinaan yang dihasilkan adalah berkualiti, dijalankan secara produktif dan cekap. CIDB menggalakkan semua pekerja binaan yang berkemahiran dan belum diiktiraf supaya mendapatkan pentauliahan dari CIDB selaras dengan Akta 520 CIDB. Latihan kemahiran yang disediakan menggunakan modul latihan yang menepati Construction Industry Competency Standards (CICS) yang setaraf dengan standard kemahiran antarabangsa.

Pekerja yang berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB (SKK) yang mengiktiraf kemahiran mereka.

Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia
(Program Belia)

Terbuka kepada golongan belia berusia antara 17 hingga 35 tahun, Program Latihan Kompetensi Kemahiran Belia bertujuan untuk melengkapkan golongan belia tempatan dengan kemahiran dalam berbagai bidang pembinaan. Mereka diberikan latihan yang dibiayai sepenuhnya oleh CIDB melalui enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang terletak di seluruh Malaysia. Latihan kemahiran yang disediakan akan membolehkan mereka mendapat dan meningkatkan kemahiran untuk memulakan kerjaya dalam industri pembinaan. Pelatih yang berjaya menamatkan latihan dan lulus penilaian akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB (SKK) yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir.

Program ini bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan tenaga kerja tempatan baharu yang kompeten dan terlatih ke dalam industri pembinaan bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja tempatan dalam industri pembinaan negara.

Program Penilaian Kompetensi Kemahiran CIDB

CIDB telah menetapkan supaya semua kerja pembinaan yang memerlukan kemahiran perlu dijalankan oleh pekerja binaan mahir. Ianya selaras dengan keperluan Akta 520 iaitu mengikut Seksyen 33A, semua pekerja binaan mahir wajib mendapat akreditasi dan pemerakuan dari CIDB sebelum melakasanakan sesuatu kerja binaan yang memerlukan kemahiran. Dengan yang demikian, CIDB turut menganjurkan program penilaian kemahiran di semua enam buah ABM.

Untuk menjalani penilaian kemahiran, pekerja binaan perlu membuat pendaftraan di pejabat-pejabat CIDB atau ABM yang berhampiran. Selepas itu, pekerja binaan perlu mengambil ujian kemahiran di lokasi-lokasi yang ditetapkan.

Latihan Berdasarkan Keperluan Khusus Di ABM

Cabaran utama yang dihadapi oleh industri pembinaan masakini adalah untuk terus meningkatkan tahap kemahiran, pengetahuan dan kecekapan tenaga kerjanya supaya ia mampu meluas serta mempertingkatkan lagi pencapaian modal insan dalam industri ini. ABM mampu membangun dan mengendalikan pelbagai program latihan mengikut keperluan khusus di tempat dan masa yang sesuai bagi memastikan peningkatan kemahiran secara berterusan seperti yang diperlukan oleh industri pembinaan.